Thursday, March 4, 2010

Karnival Malaysia Inovatif Zon Utara Meriah!

Pada 27-28 Februari 2010, MOSTI telah “berkampung” di Kangar, Perlis dalam satu misi untuk meningkatkan kesedaran rakyat di Zon Utara – Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Kedah – terhadap kepentingan pembudayaan inovasi dalam semua aspek kehidupan. Misi ini dicapai melalui pelaksanaan Karnival Malaysia Inovatif 2010, iaitu karnival yang mengandungi pelbagai program inovasi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.


Suasana Karnival MI2010 Zon Utara ini riuh rendah sepanjang program berlangsung, dengan kira-kira 3500 pelawat membanjiri tapak karnival di Dewan 2020, Kangar. Pelbagai pameran inovasi dipertontonkan oleh setiap negeri di Zon Utara, antara yang menarik perhatian ramai termasuklah rekaan corak batik inovatif, pameran robotik dan pelbagai lagi inovasi di peringkat akar umbi.




28 finalis-finalis Pertandingan Inovasi juga turut mempamerkan hasil inovasi mereka bagi merangkul kejuaraan di peringkat Zon Utara. Pemenang akan mewakili Zon Utara semasa Festival MI2010 yang dijadualkan pada bulan November 2010.





Acara lain yang turut dijalankan adalah bengkel dan ceramah inovasi yang interaktif, dengan bantuan oleh pihak MACRI, manakala agensi-agensi di bawah MOSTI juga menyediakan program seperti Science-On-Wheels dan pameran hasil penyelidikan yang terkini. Suasana di tapak karnival juga dihangatkan dengan pertunjukan belon panas, di mana masyarakat sekitar serta pelawat berpeluang merasai pengalaman menaiki belon panas tersebut.

Dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Malam Kreativiti Muzikal berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Acara meriah ini menampilkan pelbagai bentuk tarian inovatif serta lakonan yang unik. Acara tersebut juga mendapat kunjungan daripada pihak pengurusan UNIMAP serta MOSTI yang turut bersama-sama menyerikan lagi program tersebut. Karnival Malaysia Inovatif 2010 telah dirasmikan oleh D.Y.T.M Raja Muda Perlis dan diakhiri dengan penyampaian hadiah Pertandingan Inovasi. Karnival seterusnya akan berlangsung di Kudat, Sabah pada 24-25 April 2010