Thursday, March 4, 2010

Karnival Malaysia Inovatif Zon Utara Meriah!

Pada 27-28 Februari 2010, MOSTI telah “berkampung” di Kangar, Perlis dalam satu misi untuk meningkatkan kesedaran rakyat di Zon Utara – Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Kedah – terhadap kepentingan pembudayaan inovasi dalam semua aspek kehidupan. Misi ini dicapai melalui pelaksanaan Karnival Malaysia Inovatif 2010, iaitu karnival yang mengandungi pelbagai program inovasi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.


Suasana Karnival MI2010 Zon Utara ini riuh rendah sepanjang program berlangsung, dengan kira-kira 3500 pelawat membanjiri tapak karnival di Dewan 2020, Kangar. Pelbagai pameran inovasi dipertontonkan oleh setiap negeri di Zon Utara, antara yang menarik perhatian ramai termasuklah rekaan corak batik inovatif, pameran robotik dan pelbagai lagi inovasi di peringkat akar umbi.




28 finalis-finalis Pertandingan Inovasi juga turut mempamerkan hasil inovasi mereka bagi merangkul kejuaraan di peringkat Zon Utara. Pemenang akan mewakili Zon Utara semasa Festival MI2010 yang dijadualkan pada bulan November 2010.





Acara lain yang turut dijalankan adalah bengkel dan ceramah inovasi yang interaktif, dengan bantuan oleh pihak MACRI, manakala agensi-agensi di bawah MOSTI juga menyediakan program seperti Science-On-Wheels dan pameran hasil penyelidikan yang terkini. Suasana di tapak karnival juga dihangatkan dengan pertunjukan belon panas, di mana masyarakat sekitar serta pelawat berpeluang merasai pengalaman menaiki belon panas tersebut.

Dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Malam Kreativiti Muzikal berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Acara meriah ini menampilkan pelbagai bentuk tarian inovatif serta lakonan yang unik. Acara tersebut juga mendapat kunjungan daripada pihak pengurusan UNIMAP serta MOSTI yang turut bersama-sama menyerikan lagi program tersebut. Karnival Malaysia Inovatif 2010 telah dirasmikan oleh D.Y.T.M Raja Muda Perlis dan diakhiri dengan penyampaian hadiah Pertandingan Inovasi. Karnival seterusnya akan berlangsung di Kudat, Sabah pada 24-25 April 2010



Friday, February 19, 2010

KARNIVAL MALAYSIA INOVATIF ZON UTARA

Berita baik untuk semua rakyat Malaysia khususnya yang menetap di negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kedah! Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Utara akan diadakan pada 27-28 Februari 2010 bertempat di Dewan Wawasan 2020, Perlis.

Karnival ini merupakan salah satu daripada enam siri karnival yang akan diadakan di seluruh negara sepanjang tahun 2010. Antara acara yang menarik pada karnival tersebut adalah pameran gerai pertandingan inovasi akar umbi,gerai sudut inovatif akar umbi, gerai inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan agensi-agensi lain, persembahan malam kreatif muzik, ceramah interaktif inovasi, bengkel kreatif, sesi pemadanan perniagaan (business matching) dan pertunjukkan belon panas.untuk semua golongan masyarakat akan diadakan bagi menarik minat serta memupuk budaya inovasi.

Marilah beramai-ramai ke Karnival Malaysia Inovatif 2010 dan bersama-sama meraikan kreativiti! Jumpa di sana!

Wednesday, February 3, 2010

Lagu: Malaysia Inovatif

Malaysia Inovatif

Malaysia boleh, Malaysia inovatif
Mari amalkan budaya kreatif
Buah fikiran pastikan positif
Rakyat dinamik negara progresif

Dari desa hingga ke kota
Satu nusa satu bangsa
Sederap langkah kita terus mara
Kukuhkan ekonomi majukan negara

Ilmu ditimba membuka minda
Jana pendapatan kekayaan dicipta
Rakyata didahulukan hidup sejahtera
Namamu harum di persada dunia

Berat dipikul ringan dijinjing
Yang tua dihormati yang muda dibimbing
Inovasi didukung tenaga digembeling
Berpadu berpakat rukun terjamin


Lagu: Imagika
Lirik: Lady Zara MOSTI

Thursday, January 28, 2010

27 Januari 2010 : Pelancaran Malaysia Inovatif 2010

Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 27 Januari 2010 di PICC. Objektif MI2010 ialah mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara. MI2010 merupakan satu kaedah bagi memberi suntikan inovasi dan kreativiti ke dalam masyarakat melalui pembangunan ekosistem yang berupaya melakukan perubahan ke arah itu. Sebanyak 202 program telah dikenalpasti untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2010.

Hadir bersama ialah Y.A.Bhg. Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, 13 Menteri Kabinet, Wakil-wakil Kerajaan Negeri, Akademia, Badan Bukan Kerajaan, Persatuan-persatuan akar umbi, pihak swasta, pelajar sekolah dan belia. Seramai 4,000 jemputan dari pelbagai lapisan masyarakat telah menghadiri majlis ini.























































Sila klik untuk keterangan lanjut

Wednesday, January 20, 2010

Lagu: Meraikan Kreativiti

Meraikan Kreativiti

Verse 1
Malaysia inovatif
Peneraju inovasi
Malaysia inovatif
Pemacu ekonomi

Verse 2
Malaysia inovatif
Tingkatkan kemahiran
Malaysia inovatif
Menciptakan kekayaan

Korus
Raikanlah kreativiti
Budayakanlah inovasi
Tinggi budi kaya pekerti
Harum nama ibu pertiwi

Verse 3
Malaysia inovatif
Peneraju inovasi
Malaysia inovatif
Pemacu ekonomi

Verse 4
Malaysia inovatif
Negara progresif
Malaysia kreatif
Berminda positif

Korus
Raikanlah kreativiti
Budayakanlah inovasi
Tinggi budi kaya pekerti
Harum nama ibu pertiwi

Verse 5
Malaysia inovatif
Peneraju inovasi
Malaysia inovatif
Meraikan kreativiti


Lagu: Universiti Lim Kok Wing
Lirik: Lady Zara MOSTI

Kumpulan Sasar

Malaysia Inovatif 2010 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat. Ia juga bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Malaysia terutama generasi muda atau golongan ‘Y Generation’ mengenai pentingnya inovasi dan kreativiti, dan seterusnya dapat membudayakannya sebagai amalan seharian.

Ini bertepatan dengan konsep 1Malaysia di mana setiap anak Malaysia adalah modal insan berpotensi yang penting pada negara, maka budaya kreativiti dan inovasi perlu diterapkan supaya mereka dapat mengoptimakan potensi masing-masing ke arah menyumbang dalam pembangunan negara.

Kumpulan sasar adalah terdiri daripada semua golongan masyarakat termasuklah kanak-kanak pra-sekolah, pelajar-pelajar, kumpulan belia, wanita, golongan Orang Kurang Upaya, Ketua Komuniti/Pemimpin Masyarakat, wakil pertubuhan bukan Kerajaan, pihak swasta, penyelidik dan anggota Kerajaan.

Logo MI2010


RASIONAL LOGO


Logo MI2010 menggunakan ikon tetikus (mouse). Tetikus ini merupakan alat penghubung yang digunakan secara meluas diseluruh dunia sejak komputer diperkenalkan. walaupun teknologi semakin canggih dan dalam keadaan tertentu tetikus tidak lagi digunakan, ia tetap menjadi ikon yang digunapakai oleh pereka cipta dan ahli-ahli sains dalam menghasilkan ciptaan dan inovasi baru.

Tetikus berperanan sebagai penggerak kreativiti dan inovasi serta dapat merapatkan jurang dan mengeratkan hubungan antara negara. Hanya dengan sekali klik, ikon ini dapat menghubungkan kepada dunia luar, menyediakan ilmu pengetahuan yang terkini, membantu dalam melaksanakan kerja serta mengadakan rangkaian kerja dengan dunia luar.

Tetikus melambangkan kepentingan hubungan yang merentasi sempadan dalam era globalisasi ini.

Sekilas Pandang, Malaysia Inovatif (MI 2010)

Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) merupakan satu inisiatif kerajaan untuk merangsang rakyat Malaysia menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai satu budaya. Cara ini menjadikan masyarakat dapat membangunkan negara ke tahap lebih tinggi serta mencapai status kedudukan berpendapatan tinggi.

Tahun 2010 merupakan tahun yang penting kerana kerajaan telah mengisytiharkannya sebagai Tahun Malaysia Inovatif dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilantik sebagai penyelaras uatama dengan penyertaan dari semua pihak termasuklah lain-lain Kementerian, swasta dan rakan inovatif bagi menjayakan MI2010. Lebih utama program ini adalah untuk semua pihak dan tidak hanya terhad kepada MOSTI sahaja.

Dengan tema ‘Meraikan Kreativiti’, pelbagai acara dan program menarik telah dirancang di sepanjang tahun 2010 untuk menarik minat setiap golongan lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat. Malaysia Inovatif 2010 bertujuan menyedarkan masyarakat Malaysia terutama generasi muda dan akar umbi mengenai pentingnya inovasi dan kreativiti, dan seterusnya dapat membudayakannya sebagai amalan seharian. Ini bertepatan dengan konsep 1Malaysia di mana setiap anak Malaysia adalah modal insan berpotensi yang penting kepada negara. Oleh itu, budaya kreativiti dan inovasi perlu diterapkan supaya mereka dapat mengoptimakan potensi masing-masing ke arah menyumbang dalam pembangunan negara.